Thursday 14 April 2016

RUTIN BILIK DARJAH


Rutin Bilik Darjah

Tugas guru dalam pengurusan rutin bilik darjah semakin kompleks apabila pendidikan semakin berkembang. Dalam masyarakat moden ini, kemajuan bidang pendidikan telah sampai ke tahap yang canggih sehingga tugas guru tidak terhad kepada mengajar sahaja, tetapi ditambah dengan tugas-tugas yang lain. Dalam pengurusan rutin bilik darjah, tugas-tugas guru hendaklah meliputi tiga bidang utama, iaitu:
  1.  Penyediaan, pentaksiran dan penyimpanan rekod.
  2.  Penyediaan dan pelaksanaan rutin bilik darjah.
  3.  Pelaksanaan tugas-tugas lain seperti pengurusan Skim Pinjaman Buku Teks, Skim Amalan Makanan dan Pemakanan, Skim Susu dan sebagainya. 
Tugas-tugas guru dalam pengurusan rutin bilik darjah tersebut bukan sahaja perlu, bahkan juga amat penting untuk menjamin segala aktiviti pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan lancar dan berkesan  di bawah keadaan yang berdisiplin tanpa membazirkan masa.


1. Penyediaan, Pentaksiran dan Penyimpanan Rekod
Rekod-rekod murid yang harus disediakan ialah Rekod Pendaftaran, Jadual Kedatangan, Rekod Prestasi, Rekod Profil, Buku Kemajuan Murid, Kad Himpunan 001 dan 002, dan Rekod Kutipan Yuran.
Rekod-rekod murid ini bertujuan memberi maklumat yang lengkap mengenai kemajuan mereka dalam segala perkembangan potensi dari segi intelek, rohani, jasmani dan sosial. Pentafsiran rekod-rekod murid tersebut adalah tugas penting bagi seorang guru, kerana hasil pentafsiran  akan dapat membantu guru memahami murid-muridnya dengan lebih tepat. Dengan adanya maklumat yang diperoleh daripada rekod-rekod murid, guru bukan sahaja dapat merancang pelajarannya dengan lebih berkesan tetapi juga boleh membimbing murid memperkembang potensinya secara menyeluruh.
Di samping itu, maklumat-maklumat dalam sesetengah rekod murid juga penting bagi ibu bapa untuk memahami kemajuan dan kebolehan anak mereka, serta murid sendiri untuk mengetahui potensi diri masing-masing.
Oleh itu, segala rekod murid hendaklah disediakan dan diisikan dengan lengkap da tepat, malah dikehendaki menyimpan dengan sistem yang sesuai serta mudah dikesan bila-bila masa apabila perlu dirujuk.

Rekod Pendaftaran Murid

Semasa murid-murid mula memasuki sekolah, sama ada di sekolah rendah atau sekolah menengah, guru dikehendaki membantu mereka menguruskan pendaftaran dengan mengisikan Borang Pendaftaran Murid seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 1. Butiran-butiran yang hendak diisikan ialah nama murid, jantina, ummur, tarikh lahir, tarikh masuk sekolah, nombor surat beranak, nama, pekerjaan dan alamat ibubapa. Segala maklumat dalam borang pendaftaran ini akan digunakan untuk dipindahkan dalam Buku Pendaftaran, Buku Jadual Kedatangan dan Kad 001 M(77) nanti.



Rajah 1  Borang Rekod Pendaftaran Murid

Buku Jadual Kedatangan
Buku Jadual Kedatangan Digunakan untuk merekodkan kedatangan murid-murid pada setiap hari persekolahan. Butir-butir yang terkandung dalam buku ini ialah nama murid-murid mengikut susunan abjad, petak-petak untuk ditanda dengan tanda hadir, lewat atau tidak hadir bagi setiap bulan, jumlah bilangan hadir dan tidak hadir serta ringkasan bulanan seperti jumlah kedatangan yang sepatutnya , peratus kedatangan, purata kedatangan, bilangan dalam daftar pada akhir bulan lalu, bilangan masuk, bilangan keluar, bilangan daftar pada akhir bulan dan purata bilangan murid. Ringkasan bulan ini hendaklah dikira pada setiap akhir bulan.
Peraturan-peraturan dalam menggunakan Buku Jadual Kedatangan adalah seperti berikut:
  1. Kedatangan murid hendaklah ditandakan pada tiap-tiap hari persekolahan, selewat-lewatnnya satu jam sesudah waktu pelajaran pertama bermula.
  2. Murid-murid yang hadir ditandakan dengan garisan /, yang tidak hadir ditandakan dengan satu bulatan kecil O. Bagi murid yang datang lewat ditandakan dengan L dalam O. Bagaimanapun, murid yang lewat dikira hadir.
  3. Murid yang meninggalkan kelas sebelum berada di dalamnya selama dua jam kerana sakit atau hal peribadi dikira sebagai tidak hadir.
  4. Hari kelepasan hendaklah ditulis dengan dengan satu garisan lurus di sepanjang ruang serta dinyatakan jenis hari kelepasan itu.
  5. Segala tanda kedatangan hendaklah ditulis terus dengan pen dan bukan pensel.
  6. Sebarang tanda yang salah ditulis tidak boleh dipadankan dengan apa-apa jenis pemadam, kecuali dipangkah dan dibetulkan di sebelah dengan pen, diikuti dengan tandatangan guru.

Pada setiap akhir bulan persekolahan, jadual kedatangan hendaklah ditutup dengan mengira peratus kedatangan , purata kedatangan dan purata bilangan murid pada bulan yang berkenaan dengan menggunakan rumus seperti berikut:

Peratus kedatangan= jumlah kedatangan murid ÷ jumlah kedatangan sepatutnya × 100
Purata kedatangan= Jumlah kedatangan murid ÷ bilangan hari persekolahan
Purata bilangan murid= Jumlah kedatangan sepatutnya ÷ bilangan hari persekolahan

Di samping merekod kehadiran murid dan mengira peratus dan purata kehadiran murid dalam ruangan ringkasan bulanan, guru juga dikehendaki mengisikan butir-butir mengenai murid seperti jantina, nombor pendaftaran sekolah, tarikh masuk, tarikh lahir, nombor resit dan sebagainya. Maklumat-maklumat ini boleh didapati daripada rekod pendaftaran murid yang telah disempurnakan semasa mereka mendaftarkan diri pada hari persekolahan yang pertama.



Contoh Butiran yang Terdapat dalam Buku Kedatangan Murid

Rekod prestasi
Rekod prestasi digunakan untuk merekod prestasi murid dalam  setiap mata pelajaran berdasarkan sesuatu senarai kemahiran. Rekod ini merupakan satu senarai semak mengandungi senarai nama murid dengan kemahiran-kemahiran yang dipelajari. Guru boleh menandakan ‘P’ dalam ruangan yang berkenaan apabila sesuatu kemahiran telah dikuasai oleh murid, dan menandakan ‘x’ bagi murid yang gagal menguasai kemahiran tersebut. Rekod prestasi ini digunakan untuk menentukan siapa yang memerlukan program pemulihan dan siapa yang memerlukan program pengayaan.



Contoh Rekod Prestasi

Rekod Profil
Rekod profil digunakan untuk markah dan gred yang diperoleh oleh  murid dalam ujian penggal atau peperiksaan sekolah. Markah dan gred yang dicatatkan dalam rekod ini akan memberi gambaran secara objektif  terhadap pencapaian murid dalam semua mata pelajaran yang dipelajari dalam sesuatu penggal. Guru boleh menggunakan keputusan dalam rekod profil untuk menentukan siapa yang memerlukan pemulihan khas, kemudian merancang pelajaran berdasarkan pencapaian murid, atau menempatkan murid-murid semula dalam kumpulan yang sesuai.



Contoh Rekod Profil

Buku Kemajuan Murid
Buku kemajuan murid ialah sejenis rekod profil yang dibukukan dalam bentuk risalah, biasanya digunakan sebanyak enam tahun di sekolah rendah atau lima tahun di sekolah menengah. Markah dan gred biasanya direkodkan dua kali setahun, iaitu berdasarkan  keputusan peperiksaan pertengahan tahun dan keputusan peperiksaan akhir tahun. Di samping itu, kelakuan murid serta kedatangannya juga direkodkan dalam buku kemajuan murid itu. Selain tendatangan guru atau Guru Besar atau Pengetua, buku kemajuan murid ini juga diserahkan kepada ibubapa untuk ditandatangani.


Contoh Satu Halaman Buku Kemajuan Murid

Kad Himpunan 001 dan 002
Kad Himpunan 001 merujuk kepada Kad Rekod Persekolahan manakala Kad Himpunan 002 merujuk kepada Kad Rekod Peribadi (sulit). Kedua-dua kad ini mula digunakan pada tahun 1967 bagi semua sekolah rendah dan menengah.
Kad himpunan 001 mengandungi enam bahagian utama yang meliputi  butir-butir seperti berikut:
  1. Butir-butir murid.
  2. Butir-butir keluarga.
  3. Rekod kedatangan sekolah dan gerakerja kokurikulum.
  4. Keputusan ujian/peperiksaan sekolah.
  5. Biasiswa, hadiah kewangan dan lain-lain hadiah akademik/ kokurikulum.
Kad Himpunan 002 mengandungi lapan bahagian utama yang meliputi butir-butir seperti berikut:
1.  Sifat-sifat diri.2.  Minat/kecenderungan murid sepertimana yang dilihat oleh guru.3.  Minat/kecenderungan sepertimana yang dipilih oleh murid.4.  Pilihan pekerjaan oleh murid.5.  Temuramah dengan murid.6.  Temuramah denga ibubapa.7.  Rekod kesihatan murid.8.  Rekod penyakit teruk.

Kedua-dua kad ini wajib diisi oleh guru kelas bagi murid yang berkenaan pada setiap akhir tahun. Kad 001 dan 002 yang dipunyai olehsetiap orang murid digunakan di sepanjang persekolahan mereka, dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah. Kad-kad tersebut disimpan di pejabat sekolah. sekiranya seseorang murid bertukar ke sekolah lain, kedua-duanya akan dihantar ke sekolah barunya.
Bagaimanapun, mulai tahun 1978, Kad Himpunan 001 dan 002 telah dicantumkan dalam satu kad yang disebut sebagai Kad Rekod Persekolahan Murid Sekolah Rendah 001 R(77) untuk murid-murid di sekolah rendah, dan Kad Rekod Persekolahan Murid Sekolah Menengah 001 M(77) untuk murid-murid di sekolah menengah. Kad-kad ini disimpan di sekolah rendah dan sekolah menengah masing-masing untuk dirujuk pada bila-bila masa.
Tujuan utama diadakan Kad Rekod Persekolahan murid ini ialah untuk mengetahui kemajuan murid dalam bidang akademik dan aktiviti kokurikulum dari setahun ke setahun, memahami sifat-sifat, minat dan kesihatan murid serta latar belakang keluarga mereka. maklumat-maklumat ini sangat penting bagi guru membimbing murid-murid ke arah memperkembangkan potensi mereka dari segi intelek, jasmani, rohani dan sosial secara menyeluruh.


Contoh Halaman  Kad Rekod Persekolahan Murid Sekolah Menengah 001 M(77)

Rekod Kutipan Yuran
Antara yuran yang  biasanya dikutip ialah yuran perpustakaan, yuran sukan, yuran peperiksaan awam atau bayaran majalah sekolah.
Kerja mengutip yuran-yuran tersebut diuruskan oleh guru kelas. Yuran-yuran yang dikutip pada sesuatu hari hendaklah diserahkan kepada Guru Besar atau Pengetua atau wakilnya pada hari yang sama. Jumlah yuran yang dikutip hendaklah diisikan dalam suatu borang yang kutipan yuran untuk ditandatangani oleh pihak sekolah sebagai akuan penerimaan yuran yang diserahkan. Apabila yuran yang telah dibayar, guru yang mengutipnya hendaklah mengeluarkan resit dan memberikan kepada murid yang berkenaan.

2. Penyediaan dan Pelaksanaan Rutin Bilik Darjah 
Menurut Mok Soon Sang (1997), secara am, pengurusan rutin bilik darjah boleh digolongkan kepada dua jenis yang utama, iaitu pengurusan keadaan fizikal dan peraturan bilik darjah.

Pengurusan Keadaan Fizikal Bilik Darjah
Pengurusan keadaan fizikal bilik darjah berkaitan dengan penyusunan kerusi meja murid, alat-alat, ruang, sudut pembelajaran dan kebersihan bilik darjah. Tujuan pengurusannya ialah bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang selesa serta keadaan fizikal bilik darjah yang bersih, kemas dan teratur. Berikut merupakan antara kerja-kerja yang boleh dilakukan oleh murid-murid:

    1.  Menyapu lantai dan beranda.
2.  Membersihkan papan tulis.
3.  Menyusun meja dan kerusi.
4.  Mengemas ruang dan sudut pembelajaran.
5.  Menyusun buku-buku dan majalah di sudut bacaan.
6.  Menghias dan menjaga alat-alat yang dipamerkan.
7.  Menjaga penggunaan lampu dan kipas.
8.  Mengelap cermin tingkap dan menghias meja guru.


Contoh Jadual Bertugas Kelas

Pengurusan Peraturan Bilik Darjah
Bagi menjamin segala aktiviti dalam bilik darjah dapat dijalankan dengan baik tanpa gangguan, peraturan-peraturan bilik darjah hendaklah disediakan dengan maksud yang jelas dan ringkas supaya setiap murid dapat menghafaz dan mematuhinya dengan mudah. Guru kelas hendaklah menerangkan peraturan-peraturan bilik darjah dan faedah mematuhinya kepada murid-muridnya pada hari persekolahan pertama. Satu salinan peraturan bilik darjah hendaklah dipamerkan pada papan notis supaya murid dapat membaca dan mengingati peraturan-peraturan tersebut.

Contoh Peraturan Bilik Darjah

3. Pelaksanaan Tugas-tugas Lain
Selain tugas penyediaan pelbagai jenis rekod dan pelaksanaan rutin bilik darjah, guru juga dikehendaki melaksanakan tuas seperti pengurusan Skim Bantuan Buku Teks bagi murid-muridnya. Di sesetengah sekolah, guru juga dikehendaki membantu sekolah menguruskan Skim Amanah Makanan dan Pemakanan serta Projek Susu Sekolah.

Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT)
Skim Pinjaman Buku Teks telah dilancarkan oleh Kementerian Pendidikan sejak tahun 1975. Tujuan melancarkan program SPBT ini ialah untuk meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh ibu bapa atau penjaga yang kurang mampu membiayai perbelanjaan sekolah anak-anak mereka.

Skim Amalan Makanan dan Pemakanan
Skim Amalan Makanan dan Pemakanan untuk murid-murid miskin mula dilancarkan oleh Kerajaan Negeri Selangor di kawasan Kuala Langat pada tahun 1974. Pada tahun 1976, Jawatankuasa Rancangan Amalan Makanan dan Pemakanan di bawah Jabatan Perdana Menteri menyalurkan peruntukan wang kepada Kementerian Pendidikan supaya melaksanakan rancangan makanan di beberapa kawasan terpilih. Pada tahun 1979, tugas pengelolaan, penyeliaan dan pelaksanaan Skim Amalan Makanan dan Pemakanan diserahkan sepenuhnya kepada Kementerian Pendidikan.
Tujuan mengadakan Skim Amalan Makanan dan Pemakanan ialah untuk memberi makanan tambahan kepada murid-murid miskin yang belajar di sekolah rendah bagi membaiki keadaan kesihatan mereka. Dengan adanya rancangan pemakanan ini, diharapkan taraf kesihatan murid-murid dari golongan yang berpendapatan rendah dapat dipertingkatka supaya mencapai objektifnya seperti pengurangan serangan penyakit dalam kalangan murid dan peningkatan daya pembelajaran mereka pembelajaran mereka supaya tidak ketinggalan dalam pelajaran di sekolah.
Pemilihan murid-murid menyertai Skim Amalan Makanan dan Pemakanan ini adalah berdasarkan kepada beberapa golongan murid, iaitu:
   1.  Murid-murid daripada keluarga miskin.
2.  Murid-murid daripada keluarga yang berpendapatan rendah serta mempunyai ahli yang ramai.
3.  Murid-murid yang terdiri daripada keluarga yang berpendapatan rendah serta menunjukkan tanda-tanda kekurangan makanan berzat.
4.  Murid-murid yang datang dari tempat tinggal yang jauh.

Skim Susu
Skim Susu mula dilancarkan oleh Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Jabatan Haiwan pada tahun 1980. Tujuan melancarkan Skim Susu ini adalah sama dengan Skim Amalan Makanan dan Pemakanan. Di bawah projek ini, susu dalam kotak 250 ml dibekalkan oleh Jabatan Haiwan dua hari seminggu kepada sekolah-sekolah yang terpilih. Murid-murid yang miskin diberikan susu kotak dengan percuma. Pelaksanaan Skim Susu ini adalah selaras dengan cogan kata yang berbunyi:
“Kanak-kanak sihat, pelajaran maju dan hidup bahagia tanpa penyalahgunaan dadah.”



Kesimpulannya, semua guru hendaklah peka terhadap pelaksanaan tugas rutin bilik darjah agar pelajar dapat belajar dengan selesa dan sesi pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan lancar.



Bibliografi


Farrant L.S. (1977). Prinsip dan amali Pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Haliza Hamzah & Joey Nesamalar Samuel. (2009). Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Kirk, Samuel A, & Gallagher James J. (1989). Educating Exception Children. USA: Houghton Mifflin Company.

Mok Soon Sang. (1997). Pedagogi 1: Kurikulum dan Pengurusan Bilik Darjah. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.


Santrock, J. (2012). Educational Psychology.5thed. New York: Mc Graw-Hill.



No comments:

Post a Comment